Perihal

 خير أمتي القرن الذي بعثت فيهم ، ثم الذين يلونهم ، ثم الذين يلونهم

"Sebaik-baik daripada umatku adalah generasiku (selepas aku diutuskan), kemudian mereka yang sesudahnya, kemudian mereka yang sesudahnya (mengikuti mereka)."
- Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim


Generasi Salafus Soleh terawal Islam, yakni Sahabat Ridhwanullahi 'alaihum, Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in adalah golongan pendahulu yang hampir kepada Nabi SAW dan paling baik keimanan mereka. Mereka beriktikad sebagaimana iktikadnya para Nabi, dan berpegang kepada Sunnah sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Rasulullah yang berpeluang untuk menatap sendiri wajah mulia Nabi SAW.

Firman Allah,

"Orang-orang terdahulu lagi yang mula-mula (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan Allah menyediakan bagi mereka jannah-jannah yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar" [At-Taubah : 100]

Secara jelasnya Allah memuji golongan terawal Islam, yakni golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup bersusah payah mempertahankan kebenaran risalah yang dibawa oleh Baginda Rasullah SAW dan sanggup berkorban nyawa, harta benda dan anak pinak dalam mengikuti episod perjuangan Nabi SAW. Allah juga menjelaskan akan keistimewaan golongan ini, yakni mereka yang paling cekal imannya, dan paling tabah dalam menghadapi dugaan dan seksaan daripada anasir-anasir luar yang cuba untuk memadamkan cahaya Allah, dan mengurniakan ganjaran syurga bagi mereka, dan juga tidak ketinggalan pada mereka yang berusaha untuk mengikuti golongan ini dalam meraih keredhaan Allah SWT. 

Keutamaan mengikuti Salaf

Tidak diragukan lagi bahawa orang yang berakal yang telah memahami Kitab Allah dan Sunnah RasulNya adalah menjadi tanda bahawasanya seseorang itu telah pun meraih tahap taqwa yang tinggi, dimana mereka membenarkan segala kalam Nabi SAW dikala Baginda dipermainkan, mereka juga sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai bagi melindungi jasad mulia Baginda SAW daripada terluka dan sebagainya. 

"Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu" [Al-Hujuraat : 13]

Dan sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa bentuk kalian dan harta kalian akan tetapi melihat kepada hati-hati kalian dan amalan kalian" [Hadith Sahih Riwayat Muslim 16/121 -Nawawi]

Allah SWT telah melihat kepada hati-hati para sahabat Rasulullah dan mengkelaskannya sebagai sebaik-baik hati diantara para hambaNya setelah hati Muhammad SAW kemudian Allah memberikan kefahaman yang tidak didapatkan oleh orang-orang yang menyusul mereka, oleh kerana itu apa yang para sahabat pandang sebagai kebaikan maka ianya adalah kebaikan di sisi Allah SWT dan apa yang mereka pandang sebagai keburukan maka ianya adalah keburukan di sisi Allah.

Oleh itu, halaman ini berusaha untuk memaparkan sedikit untaian kata, pedoman dan fatwa daripada golongan Salafus Soleh ini sebagai usaha untuk mengembalikan masyarakat kini kearah manhaj sebenar menurut Ahli Sunnah wal Jamaah. Kami juga akan cuba meringkaskan artikel (berpandukan rujukan) sedaya upaya kami bagi memudahkan kefahaman semua. Teks asal Arab turut dibuang dalam proses ini (disediakan atas permintaan) dan rujukan akan disertakan dibawah artikel. Semoga usaha kecil ini dinilai Allah sebagai amal soleh dan bermanfaat untuk semua. InshaAllah.


Senarai admin


1. Abu Khaleel al-Brittani
2. Abu 'Amarah al-Malizi 









 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @