Siapa itu Salafi dan Tokoh Mereka?

Penulis : Syaikh Ahmad b. Yahya an-Najmi 

Salaf beerti para sahabat Rasulullah SAW dan para pengikut mereka (tabi'in) dengan baik dari penghuni tiga kurun yang dimuliakan dan yang setelah mereka, inilah yang disebut dengan salafi. Bernisbah kepadanya beerti bernisbah kepada apa yang dipegangi oleh para sahabat Rasulullah dan kepada jalan Ahlul Hadith. Dan Ahlul Hadith adalah para pengikut manhaj salafi yang berjalan di atasnya.

Maka salafi adalah satu aqidah dalam permasalahan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya. Juga sebuah aqidah dalam masalah qadar, aqidah dalam masalah sahabat, dan seterusnya. Para salaf beriman kepada Allah dan dengan nama-namaNya yang indah dan sifat-sifatNya yang tinggi yang Allah sendiri sifatkan diriNya dengannya dan yang disifatkan oleh RasulNya SAW.

Mereka (para salaf) beriman kepadaNya menurut konteks yang sesuai dengan kemuliaan Allah tanpa melakukan tahrif (mengubah kata hingga berubah makna), tamtsil (memisalkan Allah dengan makhluk), tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), ta'thil (meniadakan sifat bagi Allah atau menyatakan Allah tidak memiliki sifat apapun) dan ta'wil (mengertikan dengan salah,sebagai contoh; tangan Allah diertikan kekuasaan Allah. Ini salah kerana tidak bertepatan dengan apa yang disifati oleh Allah. Lebih tepat jika dikatakan bahawa Tangan Allah diertikan juga dengan tangan Allah. Tapi tentunya tidak boleh menyerupakannya dengan tangan makhluk, kerana Zat Allah tidak akan sama dengan makhluk).

Mereka para salaf juga beriman kepada qadar, sama ada baik atau buruk. Malah, tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia beriman dengan qadar yang Allah taqdirkan atas para hambaNya. Allah berfirman: "Sesungguhnya segala sesuatu Kami ciptakan dengan qadarnya" (al Qamar: 49)

Adapun dalam persoalan sahabat, maknanya adalah beriman bahawa para sahabat Rasulullah SAW adalah wajib kita redha kepada mereka dan meyakini baahwa mereka adalah orang yang adil. Mereka adalah sebaik-baik ummat dan sebaik-baik kurun/generasi, lantas meyakini bahawa mereka semua baik. Ini berbeza dengan keyakinan Syi'ah dan Khawarij yang mengkafirkan para shahabat Rasulullah SAW dan tidak menghormati mereka.


Bagi seorang salafi, tidak ada tokoh yang lebih utama selain Rasulullah SAW. Rasulullah SAW adalah pemimpin golongan ini dan pegangan mereka. Samahalnya juga kedudukan para sahabat adalah ikutan mereka. Dasar hal ini adalah diambil daripada sabda Rasulullah SAW:

"Telah terpecah orang-orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasara (Nasrani) menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan akan terpecah ummatku (Islam) menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam neraka, kecuali satu golongan. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka, wahai Rasulullah? Beliau berkata: Mereka adalah orang yang berdiri diatas apa yang aku dan para sahabatku berdiri diatasnya." (HR Abu Daud dan disahihkan Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud 3/115).

Baginda Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Irbadh bin Sariyah radhiallahu 'anhu yang menerangkan tentang khutbah Baginda yang padanya Baginda berwasiat untuk bertaqwa kepada Allah, Baginda berkata: "Aku wasiatkan kalian untuk bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat, walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba dari Habsyi." Kemudian Baginda menyuruh untuk berittiba' kepada sunnahnya dan sunnah para khulafaur rasyidin al mahdiyin (khalifahnya yang mendapatkan petunjuk dan hidayah). Baginda katakan: "Gigitlah [berpeganglah] (sunnah itu) dengan gigi geraham kalian. Dan berhati-hatilah kalian dari perkara-perkara yang baru dalam agama, kerana setiap perkara yang baru adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat." (HR Tirmidzi dan disahihkan Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Tirmidzi no.2830).

 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @